Institusi zakat berperanan menangani kemaslahatan, kesusahan masyarakat Islam



​​


Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, bagi meningkatkan taraf institusi zakat, Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB) juga perlu mempraktikkan Good Governance seperti juga mustahak untuk membarigakan milestones yang dicapai oleh JUZWAB.


Semasa mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, kriteria kelayakan penerima zakat dari golongan tertentu perlu dikemas kini dan dihadapkan kepada jawatankuasa pandu untuk disokong.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, begitu juga dasar-dasar peraturan pengendalian zakat hendaklah dikemas kini supaya tidak mudah untuk dieksploitasi.


Dalam titah, baginda turut menekankan agar jangan ada ruang untuk penyelewengan dalam mengagihkan zakat, peganglah kuat-kuat amanah pengurusan zakat, wakaf dan harta Baitulmal dengan tulus, ikhlas.


"Beta mahu melihat progress dalam pengendalian. Kita juga mesti sedar bahawa adalah berdosa jika gagal untuk melaksanakan pengagihan zakat dengan sebaik-baiknya.


"Ingatlah institusi zakat adalah harapan untuk menangani kemaslahatan dan kesusahan dialami oleh masyarakat Islam di negara ini, serta juga akan menguatkan lagi strategi jaminan sosial dan kesejahteraan", titah baginda lagi.


Kebawah DYMM juga bertitah menegaskan agar asnaf perlu juga diperingatkan bahawa zakat bukanlah dimaksudkan untuk menjadi sumber pendapatan tetap, tetapi setiap permohonan adalah semata-mata tertakluk kepada penilaian jua.


Close